
2010/07/12
KUANTAN: Kastam Diraja Malaysia Pahang berjaya mematahkan cubaan penyeludupan mercun dan bunga api dengan menahan sebuah lori yang membawa muatan 8,000 kilogram bahan berkenaan pada 5.30 petang semalam.
Pengarahnya, Datuk A Samawe Hassan, berkata bertindak atas maklumat yang diterima, pihaknya menggerakkan pasukan ke beberapa laluan utama bagi memantau pergerakan lori yang disyaki membawa muatan barangan larangan import tersebut.
Katanya sepasukan anggota berjaya mengesan sebuah lori bersaiz 10 tan yang membawa palet di Jalan Kuantan-Kemaman pada jam 1.30 tengahari. "Apabila diarah berhenti, pemandu lori berkenaan telah memberhentikan kenderaannya di tengah-tengah jalanraya namun secara tiba-tiba memecut kenderaannya untuk melarikan diri," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, lori tersebut berjaya melarikan diri selepas mendapatkan bantuan beberapa kenderaan tonto bagi menghalang kenderaan Kastam ketika berlakunya kejar-mengejar.
"Kita bagaimanapun berjaya menemui lori berkenaan di kawasan perindustrian Gebeng dekat sini dan ketika lori itu dihampiri, beberapa lelaki bertempiaran lari," katanya.
A Samawe berkata, pemeriksaan ke atas lori berkenaan mendapati sebahagian daripada kepala lori sudah dicat dengan warna lain dan nombor pendaftaran asal telah ditampal dengan nombor pendaftaran baru untuk menukar identiti lori bagi mengelirukan Kastam untuk melarikan diri.
Beliau berkata, nilai keseluruhan pelbagai jenis mercun dan bunga api berkenaan dianggarkan RM400,000 dan jumlah cukai terbabit dianggarkan RM300,000.
Kes itu, katanya, disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama
0 comments:
Post a Comment