blog how to, blog trick, blog tips, tutorial blog, blog hack

Monday, July 12, 2010

20 kambing diracun




MELAKA: Sungguh kejam perbuatan orang yang memberi racun kepada kambing kami hingga mati. Apa salah saya mereka? Sia-sia saja usaha kami pelihara kambing-kambing ini tanpa mendapat hasilnya.

Begitu luahan seorang daripada dua penternak, Rasidi Ne’mat, 32, ketika melihat bangkai 15 daripada keseluruhan 20 ekor kambingnya yang mati bergelimpangan di dalam kandang dibina setinggi kira-kira dua meter dari permukaan tanah.

Ketika ditemui di kawasan penternakan itu petang Sabtu lalu, di Batu 7 Kampung Tengah, Bukit Rambai, dekat sini, beliau berkata, hampir dua tahun menternak pelbagai jenis kambing dari jenis boer dan janapari, kejadian kambingnya mati mengejut dipercayai diracun adalah kejadian paling buruk dialaminya.

Menurutnya, kejadian disedari ketika ke kandang kambingnya di sebuah kawasan kebun yang disewa dan dipagar dengan dawai kira-kira 400 meter dari rumahnya kira-kira jam 2 petang Jumaat lalu.

Saya datang untuk beri kambing-kambing ini makan dedak dan melihat seekor kambing betina yang bunting. Mulanya saya tidak syak apa-apa kerana tidak pernah berlaku sebelum ini, namun sebaik buka pintu saya terperanjat melihat sembilan ekor kambing jantan dan betina serta anak kambing mati.

Bila diperiksa, kebanyakan kambing itu berbuih mulut menyebabkan saya syak ia diracun dan terus menelefon abang saya dan jabatan haiwan.

Daripada maklumat saya berikan seperti keadaan fizikal kambing yang mati, pegawai terbabit berpendapat kambing kami diracun, katanya yang berputih mata tidak dapat menuai hasil ternakannya.

Beliau yang berkongsi memelihara kambing dengan abangnya, Norazan, 37, mendakwa kerugian RM20,000 akibat kejadian itu.

Saya sudah hampir dua tahun bela kambing, jika salah makan dedak mungkin semua kambing sebanyak 60 ekor ini akan mati serentak. Namun, hanya 20 ekor kambing di kandang ini yang mati.

Mula-mula hanya sembilan ekor yang mati dan sebahagiannya sudah ditanam dan hari ini (Sabtu) enam ekor lagi mati.

Saya hairan kambing jantan yang diasingkan dan disimpan di kandang bawah tidak mati. Mungkin mereka tidak perasan kambing di situ.

Kebanyakan kambing betina yang mati ini bunting dan saya merancang untuk menjual sebahagian anak kambing dewasa akhir tahun ini, katanya.

Beliau berkata, kambing betina dibeli RM1,200 seekor ketika mula-mula menternak kambing di dalam kandang di tepi rumahnya.

Ketika itu hanya ada beberapa belas ekor saja yang dibela di dalam kandang dan saya beri makan dedak dan kadang-kadang daun kelapa sawit. Namun, selepas jiran merungut bau busuk akhirnya saya berpindah dengan menyewa tapak kebun di sini dan bina kandang baru berharga RM8,000.

Semua kambing diternak di dalam kandang dan tidak dilepaskan hingga memakan tanaman penduduk, jadi tiada masalah, katanya.

Menurutnya, dia langsung tidak menyangka perkara itu boleh berlaku dan menegaskan tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa.

Katanya, sebaik mengesyaki ternakan itu diracun, dia turut memberikan suntikan antibiotik kepada kambing-kambingnya selain minum air kelapa bagi menawar racun itu sebelum abangnya membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak.

Ada beberapa ekor kambing masih hidup tetapi dalam keadaan lemah. Walau apa berlaku saya tidak putus asa untuk menjadi penternak berjaya selepas ini. Saya berharap pihak berkuasa mengesan orang yang bertanggungjawab memberi racun kepada kambing-kambing saya dan diambil tindakan.

Mengenai bantuan, saya tidak tahu nak mengadu kepada siapa dan amat berterima kasih jika ada orang hendak menolong, katanya.

Sementara itu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pengkhianatan dengan membunuh atau mencacatkan binatang yang bernilai lebih RM20.

Katanya, mereka yang didapati bersalah mengikut seksyen itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sumber : Harian Metro

0 comments:

Post a Comment